Galeri Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA) merupakan ruang pameran yang menyediakan pelbagai maklumat antaranya tentang daerah Batu Pahat yang kaya dengan pelbagai keunikan seperti makanan, kesenian tarian dan muziknya. Justeru, maklumat yang bernilai ini perlu disebarluaskan kepada masyarakat umum melalui platform yang lebih mudah dan meluas capaiannya.
Seiring perkembangan IR4.0, pembangunan aplikasi AR-Galeri PTTA telah direalisasikan bertujuan untuk mempromosikan Galeri PTTA dengan menggunakan pendekatan yang lebih berteknologi. Justeru, teknologi realiti terimbuh atau Augmented Reality (AR) telah diaplikasikan dalam projek ini. AR membolehkan objek maya berbentuk visual yang dijana oleh komputer, terimbuh pada pandangan realiti fizikal yang dipaparkan menerusi skrin paparan. Ini bermakna selain daripada objek-objek realiti sedia ada, pengguna juga dapat melihat kewujudan pelbagai objek maya yang lain dalam dunia sebenar melalui skrin peranti mudah alih. Menariknya, AR-Galeri PTTA ini boleh diakses dengan hanya mengimbas peranti mudah alih kepada penanda (marker) yang disediakan tanpa perlu berada secara fizikal di tempat tersebut.
AR-Galeri PTTA menfokus kepada kandungan digital yang berkisar tentang keunikan kesenian muzik ghazal yang berasal dari daerah Batu Pahat. Aplikasi yang dibangunkan ini terdiri daripada dua modul utama iaitu Tentang Batu Pahat dan Kesenian. Modul Tentang Batu Pahat memaparkan maklumat ringkas Batu Pahat seperti lokasi, institusi pendidikan dan tarikan pengunjung seperti pusat membeli-belah terutamanya kepada warga Singapura. Manakala, modul Kesenian pula menfokus kepada genre muzik ghazal yang merangkumi sejarah ghazal, lagu-lagu ghazal dan alat muzik ghazal. Aplikasi ini membolehkan pengguna mengetahui akan asal usul ghazal di samping menikmati lagu-lagu ghazal melalui pautan yang disediakan. Selain itu, aplikasi ini juga memaparkan tujuh jenis alat muzik ghazal beserta deskripsi masing-masing iaitu tamborin, biola, marakas, gitar, harmonium, gambus dan tabla yang dipersembahkan dalam bentuk tiga dimensi (3D) secara AR. Teknologi AR membolehkan pengguna melihat setiap satu alat muzik ini secara maya pada sudut pandangan 360 darjah sama ada secara menegak atau melintang. Paparan objek maya ini juga boleh dilaraskan mengikut kesesuaian dan keselesaan pandangan pengguna. Ciri estetik material yang diterapkan pada setiap alat muzik ghazal dapat memberi nilai tambah kepada paparan objek seolah-olah melihat objek fizikal sebenar.
Mula →