HomeLatar Belakang

Latar Belakang

Bagi merealisasikan matlamat untuk memastikan kecemerlangan penyelidikan dan inovasi universiti, Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA) telah dipilih untuk mengetuai Projek Penyelidikan dan Inovasi Budaya dan Warisan Johor (Research and Innovation in Culture and Heritage of Johor - RICHER). Projek RICHER ini merupakan idea daripada YBhg. Profesor Dr. Mohd Shahir Shamsir bin Omar, mantan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) untuk penjenamaan semula aktiviti penyelidikan dan inovasi mengenai kebudayaan dan warisan Johor. Di samping mempromosikan kebudayaan dan warisan Johor, penglibatan PTTA dalam Projek RICHER akan memperkukuhkan peranan perpustakaan sebagai Guardian of Knowledge kepada universiti.

Antara inisiatif pelaksanaan Projek RICHER ini adalah untuk membangunkan portal bahan digital berpusat sama ada dalam format gambar, video, keratan akhbar dan bahan-bahan lain yang berkaitan dengan kebudayaan dan warisan Johor. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mendigitalkan kandungan terpilih bahan pameran RICHER menggunakan teknologi animasi seperti Realiti Maya (Virtual Reality - VR), Realiti Terimbuh (Augmented Reality - AR), Mixed Reality (MR) dan Penerokaan Maya (Virtual Tour). Justeru, Portal RICHER (https://richer.uthm.edu.my) iaitu Laman Web Peta Johor telah dibangunkan. Sehingga kini, bahan-bahan yang berkaitan dengan Sejarah Pertempuran di Parit Sulong, Sejarah Perlombongan Bijih Besi di Sri Medan, Gambus: Sejarah, Instrumentasi dan Gaya Permainan di Johor, Tarian Zapin, Sejarah dan Warisan Batu Pahat dan lain-lain telah didigitalkan dan dimuat naik di dalam Portal RICHER. Aplikasi AR-Galeri PTTA yang memfokus kepada kandungan digital yang berkisar tentang keunikan kesenian muzik ghazal yang berasal dari daerah Batu Pahat juga telah dibangunkan.

Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDG), khususnya matlamat yang ke-17, kerjasama yang sangat strategik dapat dijalinkan melalui Projek RICHER. Pelbagai kolaborasi di peringkat dalaman (universiti) atau bersama pihak luar iaitu institusi pendidikan, agensi dan organisasi sama ada sektor awam dan swasta, badan NGO, tokoh sejarah, ahli politik, orang perseorangan, komuniti setempat dan seluruh masyarakat pelbagai peringkat terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menyokong kelancaran pembangunan projek ini. Antara aktiviti kolaborasi yang telah dijalankan termasuklah mesyuarat taskforce, sesi lawatan tapak, lawatan kerja, lawatan tetamu, permohonan geran penyelidikan dan sebagainya. Antara organisasi atau individu terlibat dalam aktiviti kolaborasi ini ialah Rikkyo Universiti, Jabatan Muzium Malaysia, Yayasan Warisan Johor, Galeri Parit Sulong, Persatuan Sejarah Batu Pahat, kumpulan penyelidik UTHM, saksi hidup atau bekas pekerja lombong bijih besi di Sri Medan iaitu Tn. Hj. Kamaluddin bin Abdullah dan lain-lain lagi.

Acara kemuncak bagi projek ini ialah pelaksanaan Majlis Perasmian Projek RICHER dan Bicara Negarawan Tun Hussein Onn yang telah berlangsung pada 24 Ogos 2022 dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Haji Samsolbari bin Jamali, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor. Majlis turut diserikan dengan Perasmian Galeri Warisan Johor yang menempatkan Pameran Sejarah Perlombongan Bijih Besi di Sri Medan dan Sejarah Pertempuran di Parit Sulong. Selain itu Pameran Gambus @PTTA juga turut diadakan.