Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi tampil sebagai peneraju dalam bidang sains sukan dengan pembelian mesin ‘Airpod Oxygen & Hydrogen Therapy’ dan ‘Infrared Sauna Therapy’ yang canggih bagi membantu mempercepatkan pemulihan pemain.
Pemasangan mesin-mesin tersebut di Pusat Latihan Padang Seri Gelam melengkapkan lagi fasiliti milik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Ia sebahagian daripada peralatan untuk membantu pemain pulih selepas sesi latihan, kecederaan dan menambahkan kekuatan pemain secara fizikal.
Kecederaan dan kelesuan merupakan perkara yang biasa dalam bola sepak. Namun jika tidak ditangani ianya akan mengganggu tempo pasukan terutamanya apabila melibatkan kecergasan pemain. Menerusi mesin tersebut, pemulihan pemain yang biasanya memakan masa yang panjang berjaya dipendekkan.
Melalui teknologi canggih seperti ini juga, pemain JDT akan kekal cergas dan penggiliran pemain dapat dilakukan kerana semua pemain berada dalam keadaan optimum dan bersedia diturunkan pada bila-bila masa. Luaskan Kuasamu Johor.