Apabila saya katakan berkenaan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah 50 langkah ke hadapan berbanding pasukan lawan kami sebelum ini, ramai pihak yang menyindir, mengutuk dan memperlekehkan kenyataan saya.
Kami kini telah menjadi rakan kongsi dengan satu syarikat antarabangsa dan juga telah meletakkan JDT dalam salah satu kelab yang berada di bawah tajaan syarikat besar antarabangsa yang industrinya berbilion dolars. Antara nama-nama kelab bolasepak terkenal di seluruh dunia yang ada perhubungan dengan syarikat ini akan kami kongsikan setelah kami menandatangani perjanjian ini.
Setiap tahun pada masa akan datang, kami akan mengadakan perlawanan pra-musim dengan kelab-kelab ternama dunia di stadium baru kami. Apabila menjelangnya jendela perpindahan pertengahan musim iaitu pada bulan Jun setiap tahun, kami juga akan mengadakan perlawanan persahabatan bertaraf antarabangsa di mana penyokong-penyokong boleh menikmati dan melihat perlawanan membabitkan pasukan-pasukan terbesar dalam dunia serta pemain-pemain bertaraf dunia di hadapan mata anda sendiri.
Alhamdulillah syukur, saya juga telah meletakkan JDT di suatu tahap dimana kami tidak lagi akan menggunakan wang kami untuk membeli mana-mana pemain luar negara kami. JDT akan mempunyai perhubungan di mana kami boleh sentiasa pinjam-meminjam dengan kelab-kelab yang menjalinkan kerjasama dengan kami. Oleh itu, saya berasa amat teruja, berbesar hati dan bersyukur serta bangga di mana JDT sedang berada kini. Apabila pernah saya katakan dan ilhamkan sehingga menjadi bahan caci dan hinaan orang, telah ALLAH SWT tunjukkan kepada anda di mana Kelab Bolasepak JDT berada di rantau ini pada masa ini.
Alhamdulillah dan syukur sekali lagi saya kepada ALLAH SWT kerana kami akan lebih memperkukuhkan lagi kewangan kelab JDT dan ia akan dibarisi oleh syarikat-syarikat antarabangsa yang lebih besar. Terima kasih kepada penyokong JDT di seluruh dunia, kepada Bangsa Johor dan orang-orang di negeri-negeri lain yang sentiasa menyokong kelab JDT ini. Terima kasih atas sokongan anda selama ini. 'Enjoy The Game'.
Apabila JDT menentang Kelantan di Stadium Larkin nanti, kami akan membuat satu sambutan yang simbolik buat seluruh penyokong JDT. Kami akan mengadakan satu Majlis Menandatangani Perjanjian untuk memperkenalkan duta kelab JDT dan duta Akademi JDT kepada para penyokong. Ia adalah satu langkah untuk meletakkan Johor di mata dunia. Sejarah demi sejarah dicipta untuk Johor Darul Ta'zim.
Saya baru berusia 33 tahun.
"33rd Degree, 33 Years Old, The Prophecy Has Begun"
DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Penulis / Penerbit / dll
DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor