Penghulu Besar Rahmat bin Penghulu Ragam

Imej

Maklumat Bahan Rujukan
Subjek
  • Penghulu Besar Rahmat bin Penghulu Ragam
    Penghulu ke 4, Mukim Simpang Kanan
    Penduduk Batu Pahat pasti tahu dan mesti pernah melalui Jalan Rahmat, tapi siapakah individu yang bernama Rahmat ini ?
    Jalan Rahmat dinamakan sempena nama Penghulu Besar Rahmat Bin Ragam, Penghulu ke 4, Mukim Simpang Kanan Batu Pahat.
    Penghulu Rahmat, beliau adalah antara tokoh terkemuka dalam sejarah Batu Pahat.
    Antara petikan berkaitan sejarah pembukaan Bandar Penggaram yang sering kita baca dan dengar ialah titah dari Sultan Abu Bakar kepada Dato Bentara Luar untuk membuka bandar Batu Pahat itu.
    "Aku disusahkan oleh dua Penghulu, Rahmat dan Kitam. Dua tiga kali berjumpa dengan aku minta engkau membuka Batu Pahat. Aku jawab dengan Rahmat dan Kitam, jangan engkau semuanya sumpah dan tidak ikut apa-apa perintah dia kelak. Dia jawab pada aku, tidak sekali-kali. Aku fikir bolehlah engkau buka Batu Pahat itu, mana-mana tempat anggaran engkau hendak jadikan Bandar..." titah Sultan Abu Bakar.
    Penghulu Rahmat dilahirkan pada tahun 1828, merupakan anak sulong kepada Penghulu Ragam bin Penghulu Puasa bin Penghulu Pulau, dari 5 orang adik-beradik, Rahmat (Penghulu), Jumaat, Abdul Rahman, Kassim (Penghulu) dan Aisyah (bersuamikan Penghulu Kamaluddin bin Jumaat, Lubuk).
    Penghulu Rahmat dilantik menjadi Penghulu Simpang Kanan yang ke 4 pada tahun 1862 setelah kematian ayahandanya.
    Penghulu Rahmat telah menjadikan Kampung Penggaram sebagai tempat kediamannya. Kampung Penggaram ketika itu berlokasi di tepi Sungai Penggaram, berdekatan dengan tasik dan bukit, kira-kira setengah batu dari Sungai Batu Pahat.
    Pada tahun 1883, kedatangan orang Cina dari Singapura yang membuka kebun gambir dan lada hitam tidak jauh dari Kampung Penggaram.
    Manakala pada tahun 1885, pembukaan ladang kopi oleh orang Inggeris di Pangkal Jeram, 2 batu dari Sungai Batu Pahat.
    Ketika itu juga, kerajaan negeri telah membangunkan sebuah rumah atap yang dijadikan sebagai rumah sakit di Jalan Kopi, tidak jauh dari Kampung Penggaram.
    Sewaktu menjadi penghulu, Penghulu Rahmat telah melantik 5 orang penolongnya dengan gelaran Menteri dan Jenang. Menteri atau pun Penolong @ Naib bagi Penghulu dan Jenang iaitu Penghulu Batin.
    (1) Menteri Haji Muhammad Arif bin Ahmad, Kuala Simpang,
    (2) Menteri Biru bin Sapat, Pedada Kuning, (3) Menteri Dani, Linau,
    (4) Jenang Saat bin Jaafar
    (5) Jenang Uda bin Pahang.
    Berdasarkan catatan dalam Tawarikh Orang Kaya dan Penghulu Batu Pahat, Penghulu Rahmat dalam pernikahannya yang ketiga bersama Nur binti Budin, penduduk Kampung Penggaram, telah dikurniakan 4 orang anak iaitu: Fatimah, bersuamikan Orang Kaya Jaafar Orang Kaya Sidek, Chik (Penghulu), Awang (Penghulu), dan Abdul Kadir (Penghulu Besar).
    Perkahwinan pertamanya dengan anak Encik Abdul Hamid bin Ahmad, Ketua Pengaman di Kuala Simpang yang berasal dari Teluk Belangah tidak kekal lama. Perkahwinannya yang kedua dengan Che Manis, pula telah dikurniakan seorang anak lelaki yang bernama Abdul Manaf.
    Penghulu Besar Rahmat telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1914 dan telah dikebumikan di Bukit Basariah, Batu Pahat.
Publisher
  • Sejarah Johor