6 Ogos 2020 merupakan ulang tahun kelahiran Allahyarham Datuk Haji Jamil Sulong yang ke-94. Allahyarham dilahirkan pada 6 Ogos 1926. Beliau merupakan seorang pelakon,pengarah filem dan penulis lirik tersohor berasal dari PARIT SULONG, Johor.
Beliau adalah anak lelaki tunggal kepada Sulong bin Muhammad.(Naib Penghulu Mukim 4 PARIT SULONG) yang berkahwin dengan Temun Manang (anak angkat kepada Sulong Bin Gantang, Pengasas Parit Sulong).
Ibu dan empat orang lagi dari ahli keluarganya telah menjadi korban kekejaman serangan Bintang Tiga (komunis) di PARIT SULONG sekitar tahun 1945 sewaktu umurnya 18 tahun.
Mendapat Pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Senangar ,Parit Sulong pada 1934 dan pindah ke sekolah baru S.K.Parit Sulong yang baru siap dibina pada tahun 1935.
Melanjutkan pelajaran ke Government English School (High School Batu Pahat) dalam darjah Special Malay Class (SMC).Persekolahan terhenti semasa pemerintahan Jepun pada tahun 1942 hingga 1945.Beliau kemudian menyambung persekolahan dalam darjah 7 selepas perang (1946) tetapi terpaksa berhenti sekolah setelah kematian bapanya pada 7 Ogos 1946.
Setelah berhenti sekolah,beliau tinggal di Parit Sulong .Oleh kerana kecenderungan terhadap bidang penulisan dan seni, beliau menjadi penulis bebas yang menghantar berita,cerpen,
sajak dan lukisan untuk akhbar tempatan dan Singapura.
Beliau juga aktif dalam politik ketika itu dengan menjadi setiausaha kepada Parti Pergerakan Melayu Semenanjung cawangan Parit Sulong dan kemudian ditukar kepada parti UMNO.Pada Ketika itu,UMNO bahagian Parit Sulong adalah cawangan yang kedua terbesar di Batu Pahat.Beliau kemudiannya diserapkan menjadi AJK UMNO Bahagian Batu Pahat.
Antara jasa-jasa beliau di PARIT SULONG adalah :
Menyerahkan beberapa tanah kepunyaan keluarga beliau kepada kerajaan untuk penempatan orang-orang pinggiran semasa darurat (1948 hingga 1960)
Tanah keluarga beliau juga diserahkan untuk dijadikan tapak kedai,masjid dan pasar di pekan Parit Sulong.Beliau juga membenarkan sekolah dan klinik yang ada di Parit Gantung sekarang ini didirikan diatas tanah wakafnya.
Pada penghujung bulan Oktober 1951,beliau bersama dengan rakannya Dato’ Usman Awang (Tongkat Warrant) telah berhijrah ke Singapura untuk menghadiri panggilan temuduga sebagai Penolong Pengarah di Malay Film Production (MFP) Jalan Ampas yang ketika itu sedang mencari bakat bakat baru untuk diberi peranan dalam filem filem terbitannya.
Usman Awang lebih dahulu mengenali Jamil Sulong ketika sama sama menceburkan diri dalam persatuan penulis iaitu Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM) sekitar awal tahun 50-an.
Ketika di Singapura, Usman Awang dan Jamil Sulong berkenalan dengan P.Ramlee dan H.M.Rohaizad .Usman Awang lebih berminat untuk berkerja di syarikat akhbar dan pencetakkan manakala Jamil Sulong lulus temuduga sebagai Penolong Pengarah lalu diambil bekerja pada bulan November 1951.
Filem pertama arahannya setelah bergelar Pengarah pada tahun 1958 adalah Filem “Batu Belah Batu Bertangkup” diikuti lebih 30 buah filem lain.sehingga tertubuhnya RJ filem Sdn Bhd milik beliau pada 1987 bagi menghasilkan filem dan drama tv di Malaysia.
Antara lirik lagu ‘masterpiece’ tulisannya yang menjadi lagu “IKONIK” dalam nyanyian beberapa penyanyi lagenda adalah :
Selamat Hari Raya -Ahmad Jais (1957)
Berkorban Apa Saja -P Ramlee (1956)
Anak ku Sazali -P.Ramlee (1956)
Tiada Kata Secantik Bahasa -P.Ramlee (1956)
Azizah-P.Ramlee (1955)
Tiru Macam Saya – Saloma (1953)
Merak Kayangan – P.Ramlee (1953)
Hasil tulisan lirik beliau yang begitu puitis melonjakkan populariti penyanyinya.
lagu lagu itu malar segar hingga ke hari ini hingga membuatkan orang tidak menyedari lirik dalam lagu tersebut adalah hasil nukilan Jamil Sulong.
Keakraban beliau dengan P.Ramlee membuatkan banyak karya-karya Jamil Sulong diterjemahkan dalam filem-filem arahan P.Ramlee sendiri.Sebahagian daripada lagu-lagu dari filem tersebut telah diistiharkan sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2018.
Pencapaian lain beliau dalam bidang seni adalah :Beliau pernah menjadi penerbit di filem Negara Malaysia (Kementerian Penerangan Malaysia) dari tahun 1968 hingga 1974 ,Ahli Lembaga Akademi Filem Malaysia ,Ketua Rundingan skrip di FINAS dan mewakili Malaysia dalam menyertai beberapa festival filem di luar negara.
Menjadi ahli Cipta (Karyawan Tetamu Seni) di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia dari tahun 1968 hingga 1974 dan menghasilkan penulisan buku” Kaca Permata –Memoir seorang Pengarang” (terbitan DBP) dan juga Buku “Jamil Sulong Warisan dan Wawasan”.
Menerima anugerah Ahli Mangku Negara (A.M.N) rada tahun 1963 dan Kesatria Mangku Negara (K.M.N) pada tahun 1975 dari Yang Dipertuan Agong.
Beliau berumah tangga dengan seniwati Datuk Datin Hjh Rosnani pada November 1953 dan dikurniakan 4 orang anak.
Beliau meninggal dunia pada 25 September 2014 ketika berumur 88 tahun di Kuala Lumpur akibat angin ahmar.
Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah(dibaca) untuk Allahyarham Jamil Sulong ,Tokoh Kelahiran PARIT SULONG ini dan Karyawan Filem sepanjang zaman.