Nasi Ambeng ialah hidangan nasi campur masyarakat Jawa yang popular terutamanya di Johor. Ia biasanya disajikan di atas dulang yang dilapisi daun pisang.
Nasi Ambeng membawa rasa yang unik kerana campuran jenis makanan dan dimakan secara berkongsi dengan empat hingga lima orang yang duduk di sekitar dulang.
Hidangan yang disajikan dalam Nasi Ambeng ialah nasi putih bersama mi goreng, ayam ungkep, rempeyek, sambal belacan, sambal goreng Jawa, serunding kelapa, telur masin rebus, ikan masin goreng, dan sayur-sayuran kering. Sambal goreng Jawa yang disediakan adalah daripada suun, tempe, tauhu, kacang panjang yang digoreng bersama bagi memberi rasa yang berbeza.
Nasi Ambeng sinonimnya disediakan pada waktu tengah hari dan malam serta waktu kenduri. Para tamu yang diundang akan menjamah sedikit dan selebihnya akan dibawa pulang buat keluarga.
Sumber
Koleksi Pusat Dokumentasi Johor, Bahagian Persuratan & Sejarah, Yayasan Warisan Johor