elur pindang yang cantik warnanya dan lazat dimakan begitu sahaja sangat istimewa bagi masyarakat Melayu Johor. Pada awalnya, telur pindang dipercayai berkait dengan telur teh dari China yang dibawa oleh pedagang. Ada juga yang berpendapat resipi telur pindang ini dibawa oleh masyarakat Jawa yang berhijrah dan menetap di Johor.
Oleh kerana sifatnya yang tahan lama, maka telur pindang ini dijadikan bekalan makanan sewaktu belayar oleh para pedagang.
Keunikan telur pindang ini dilihat apabila ia dimasak dengan menggunakan pelbagai daun herba dan rempah ratus dalam tempoh masa yang lama iaitu antara 2-3 malam. Ini kerana untuk memastikan telur masak dan menyerap segala aroma daun-daun herba dan rempah-ratus.
Antara bahan yang digunakan ialah telur ayam, serai, lengkuas, bawang merah, bawang putih, jintan, ketumbar, daun serai, kulit bawang, daun manggis, daun salam, daun senduduk, daun kunyit dan lain-lain lagi. Bagi menghasilkan telur yang berkualiti dan cantik, ia perlulah disusun baik dan dimasak dengan api yang sederhana.
Di Johor, telur pindang dijadikan sebagai hadiah kepada tetamu dalam majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan dan kesyukuran. Ia akan dibalut dan dihias mengikut kreativiti masing-masing.