Gambar-gambar sekitar istiadat pemakaman Almarhum Sultan Abu Bakar Ibni Almarhum Temenggong Daeng Ibrahim (1833-1895) di Johor Bahru. Almarhum Sultan Abu Bakar telah ke London pada 18 April 1895 dan mangkat di sana pada 4 Jun 1895. Upacara menyiram dan mengkafankan jenazah baginda telah dikendalikan oleh Mufti dari Turki Uthmaniyah. Manakala Sultan Turki Uthmaniyah iaitu Sultan Abdul Hamid II (1842-1918) telah menguruskan proses membawa pulang jenazah Almarhum baginda. Queen Victoria juga turut mempastikan urusan pengkebumian menurut istiadat diRaja berjalan lancar, di mana akhbar mencatat bahawa "the Queen is anxious that all respect shall be paid to the remains of the Sultan of Johore when they quit this country". Sebagai penghormatan terakhir, Queen Victoria telah mengarahkan jenazah Sultan Abu Bakar diturunkan dari tangga Westminster dan dibawa dengan sebuah kapal khas melalui sungai Thames sejauh 11 batu ke Royal Albert Dock. Apabila kapal khas melepasi Tower of London, tembakan meriam dilepaskan dan bendera diRaja bersama bendera kapal-kapal lain di situ diturunkan separuh tiang.
Kapal P&O Company iaitu S.S. Bombay telah digunakan bagi membawa jenazah Almarhum dari Royal Albert Dock, London ke Pulau Pinang. Setelah tiba di Pulau Pinang pada 28 Ogos 1895, jenazah Almarhum kemudiannya dibawa ke Singapura dengan kapal perang Inggeris H.M.S. Mercury. Di Singapura, ianya disambut kapal Sea Belle bersama ratusan kapal dan perahu yang mengibarkan bendera putih pada 30 Ogos 1895. Dari Singapura jenazah Almarhum dibawa ke Johor Bahru dan disemayamkan di Istana Besar Johor Bahru. Tembakan penghormatan dengan meriam dilepaskan dari kapal H.M.S. Mercury dan juga dari arah Istana Besar. Jenazah Almarhum baginda meninggalkan Istana Besar dengan pedati khas di mana ianya diiringi para kerabat, pembesar dan ribuan rakyat jelata untuk dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah pada 7 September 1895.
Sumber: Arkib Negara Malaysia, National Archives of Singapore, Robert Penn & Co., Josef Lebovic Gallery, & Leiden University Libraries.