Baginda merupakan isteri keenam Sultan Ibrahim Al Mashur. Baginda dilahirkan pada 7 November 1915 di Austria. Nama asal baginda ialah Marcella Mendl merupakan anak kepada Edgar Mendl dari Romania yang merupakan saudara kepada Sir Charles Ferdinand Mendl seorang pegawai Kedutaan British di Paris.
Sultanah Marcella mendirikan rumah tangga bersama Sultan Ibrahim pada 6 November 1940 ketika berusia 25 tahun. Pasangan ini berkahwin di Caxton Hall Register Office London. Baginda memeluk agama Islam dan menukar namanya kepada Fawzia binti Abdullah.
Selepas berkahwin baginda diberi gelaran Lady Marcella Ibrahim sehingga baginda ditabalkan sebagai Sultanah Johor dengan memakai gelaran DYMM Sultanah Fawzia pada 17 September 1947. Baginda secara rasminya dimahkotakan pada 17 September 1955 ketika berusia 40 tahun.
Baginda merupakan Penaung Pandu Puteri negeri Johor. Sepanjang menjadi Sultanah, baginda dianugerahkan darjah keebsaran seperti Darjah Kerabat Yang Amat Dihotmati (D.K.) Johor, Seri Paduka Mahkota Johor(S.P.M.J.), dan Grand Cordon of the Order of the Crown of Romania oleh Maharaja Romania. Baginda merupakan isteri terakhir kepada Sultan Ibrahim sehingga kemangkatan baginda pada tahun 1959. Sultanah Marcella mangkat di usia 67 tahun selepas sakit sekian lama.
Baginda mangkat di Grosvenor House London pada 1 Jun 1982. Baginda mempunyai seorang puteri iaitu YAM Tunku Miriam Binti Almarhum Sultan Ibrahim yang lahir pada tahun 1950.