Pada tahun 1860, Sultan Abu Bakar membeli sebuah kediaman Woodneuk House dan tanah seluas 30 ekar di Tanglin, Singapura berdekatan Istana Tyersall daripada Captain John Dill Ross. Istana Woodneuk dijadikan kediaman rasmi Sultanah Khatijah. Sultan Abu Bakar bernikah dengan Che’ Puan Khatijah Hanum, iaitu seorang bangsawan Turki pada 22 September 1893 di Istanbul, dua tahun selepas kemangkatan Sultanah Fatimah. Pada tahun 1895, Sultan Abu Bakar mewasiatkan Istana Woodneuk kepada Sultanah Khatijah.
Sultan Ibrahim membeli Istana tersebut daripada Sultanah Khatijah sebelum Sultanah Khatijah mangkat pada 1 Februari 1904. Sultan Ibrahim membaik pulih Istana Woodneuk dengan hasil ladang getah di Pasir Pelangi dan Tasik Utara. Semasa Perang Dunia Kedua, tentera British mendirikan ibu pejabatnya di Woodneuk dan hospital medan tentera India di kawasan istana. Pada Februari 1942, khemah dan hospital musnah akibat dibom tentera udara Jepun. Selepas perang, istana tersebut dipulihara semula dan disewakan kepada Kerajaan Singapura untuk pegawai tinggi British. Almarhum Sultan Iskandar yang memiliki istana itu melalui wasiat Sultan Ibrahim mengurniakan Istana Woodneuk dan kawasannya kepada DYAM Raja Muda Tunku Ismail (sekarang Tunku Mahkota Johor).