Pada tahun 1869, Sultan Abu Bakar membeli sebuah kediaman dan 45 ekar tanah di Estate Bidadari di Serangoon, Singapura daripada rakan karibnya, Henry Minchin Simmons. Kediaman itu dinamakan Istana Bidadari tempat bersemayam suri Baginda Enche’ Besar Zubaidah bte Abdullah (nama asal ialah Cecilia Catherina Lange sebelum memeluk agama Islam dan bernikah dengan Maharaja Abu Bakar pada tahun 1868). Enche’ Besar Zubaidah ialah anak perempuan kepada Mads Lange, iaitu seorang bangsawan dan pedagang bangsa Dane yang menjalankan perniagaan di Bali dan isterinya Nonya Teh Sang Nio anak Kapitan Cina Bali.
Nama asal Bidadari tidak jelas diketahui dan sukar disahkan. Dipercayai terdapat sebuah kolam di situ yang kononnya tempat mandi-manda pari-pari. Ada pihak berpendapat kecantikan dan perwatakan Enche’ Besar Zubaidah menyerupai seorang bidadari. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang puteri, Tunku Mariam (1871) dan seorang putera, Tunku Ibrahim (1873).
Pada tahun 1905, Kerajaan Singapura mengambil balik keseluruhan Estate Bidadari dengan bayaran ganti rugi $2,500 seekar. Kawasan tersebut dijadikan tanah perkuburan yang berasingan bagi orang Islam, Kristian, Hindu dan Singhalese. Sekarang kawasan itu telah dimajukan secara komersial.