Pada tahun 1866, Ratu Victoria mengurniakan sebilah pedang yang tertera lambang “VR” yang bermaksud Victoria Regina kepada Maharaja Abu Bakar.
Selepas Baginda dimahkotakan, Sultan Abu Bakar ditauliahkan dengan sebuah Lambang DiRaja yang mempunyai huruf “A.B” bersama sebuah mahkota Inggeris di atas huruf namun disertakan sekali dengan lukisan bulan sabit dan bintang menampilkan unsur Islam.
Baginda turut mempunyai sebilah pedang yang terukir Lambang DiRaja tersebut bertatahkan batu berlian.
Sultan Sir Ibrahim turut mempunyai Lambang DiRaja menggunakan huruf “S.I” bersama mahkota kerajaan di atasnya. Baginda bertitah dan berharap agar waris takhta Kesultanan Johor turut menggunakan nama bermula dengan huruf “I” bertepatan dengan lambang DiRaja tersebut.
Lambang DiRaja adalah lambang eksklusif dan hanya boleh digunakan oleh waris takhta Kesultanan Johor untuk diletakkan di barang-barang peribadi atau dokumen rasmi.
Lambang DiRaja menggunakan huruf jawi “Siin Alif Jim” direka untuk dokumen dalam bahasa jawi.
Permaisuri, Tunku Mahkota dan Kerabat DiRaja turut mempunyai lambang DiRaja tersendiri.
Lambang DiRaja bagi DYMM Raja Zarith Sofiah menggunakan dua nama awal Baginda iaitu “RZ” disertakan dengan mahkota permaisuri di atasnya.
Lambang DiRaja Tunku Mahkota Johor menggunakan huruf “TMJ” bersama mahkota kerajaan.
Kerabat damping tidak dibenarkan untuk mempunyai monogram bersama mahkota kerana mereka bukan pewaris takhta melainkan dititahkan.
Sumber : Dipetik dari naskah 'JDT An Abode of Dignity', oleh Dato' Dr. Abdul Rahim Ramli