Zapin Tenglu di Kampung Tenglu, Mersing pada asalnya dimainkan oleh pemain lelaki. Pada kebiasaannya Zapin Tenglu dimainkan selepas selesai solat Isyak sehingga ke awal pagi. Lagu yang umum dimainkan untuk mengiringi permainan Zapin Tenglu ialah Faridzal-Ham. Keterlibatan wanita memainkan Zapin Tenglu bermula selepas tahun 1952 apabila Allahyarhamah Hajah Hapsah binti Mohamad mempelajarinya dan ikut mengambil bahagian memainkan Zapin Tenglu pada tahun tersebut ketika beliau berumur 14 tahun. Kegiatan Allahyarhamah Hajah Hapsah binti Mohamad bermain Zapin Tenglu telah diteruskan selepas beliau mendirikan rumah tangga pada tahun 1962. Allahyarhamah Hajah Hapsah binti Mohamad bukan sahaja merupakan wanita pertama yang mempelajari Zapin Tenglu bersama pemain-pemain lelaki di Kampung Tenglu, beliau juga telah mempelopori permainan Zapin Tenglu oleh pemain lelaki dan wanita. Sebagai Adiguru Zapin Tenglu, Allahyarhamah Hajah Hapsah binti Mohamad telah mengembangkan Zapin Tenglu di Negeri Johor dari tahun 1992 sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 2006.