Zapin Mahpom merupakan salah satu daripada beberapa bentuk Zapin yang terdapat di daerah Muar, khususnya di Parit Tengah Batu 18 Air Hitam, Muar. Sejarah Zapin Mahpom bermula pada tahun 1950-an di Kampung Sarang Buaya, Semerah, Muar, diasaskan oleh adiguru Wak Shuib bin Osman. Beliau telah mengajar cucu saudaranya, Ahmad bin Haji Kusiran (pemain Gambus dan biola) dan Mohd Shah bin Haji Kusiran (pemain Gambus dan Harmonium) bermain Zapin di Kampung Sarang Buaya. Mereka kemudiannya membawa langkah-langkah Zapin dari Kampung Sarang Buaya ke Parit Tengah, mengajar dan bermain Zapin Mahpom di Parit Tengah. Mohd Shah bin Haji Kusiran bermain Ghazal dan Zapin Mahpom bersama sahabat-sahabatnya di Parit Tengah. Antara sahabat-sahabat beliau ialah Fadzil Ahmad (Raja Gambus), Mian bin Sulaiman, Sahip bin Salim dan beberapa orang rakannya yang lain dari Kampung Parit Haji Bajuri, Bagan, Batu Pahat. Mohd Shah bin Haji Kusiran telah mewariskan Zapin Mahpom kepada anaknya, Salimi bin Mohd Shah untuk mengajar langkah-langkah Zapin Mahpom yang terdiri dari Langkah 1, Langkah 2, Langkah 3, Langkah 4, Kopak dan Wainab. Pada tahun 2000, Salimi bin Mohd Shah telah memperkenalkan pemain lelaki dan perempuan untuk mempersembahkan Zapin Mahpom di atas pentas bagi pertandingan-pertandingan Zapin di peringkat daerah dan di peringkat negeri Johor.