GEMA Zapin Dari Ujong Tanah bersama Kumpulan Kesenian Seri Budaya Johor
(KKSBJ) anjuran The Actors Studio dan MyDance Alliance, baru-baru ini,
berjaya membawa kelainan kerana ia sesuatu yang agak jarang disaksikan
khususnya di ibu negara.
Difahamkan, zapin mempunyai pelbagai jenis dan berkembang di beberapa
daerah di Johor.
Mungkin kita tidak pernah mendengar ataupun melihat tarian Zapin Lenga,
Zapin Merindu atau pun Zapin Parit Haji Rasol tetapi di Johor, ia menjadi
kesenian rakyat yang diceburi pelbagai lapisan usia.
Mohd Fadzli Mohd Khalid, 27, yang juga pengasas KKSBJ, berkata di Johor
saja ada 11 jenis tarian zapin yang berbeza langkah dan gaya tarinya
berdasarkan suasana masyarakat sesuatu daerah.
"Zapin Tenglu yang berasal dari Mersing, tampak lebih fizikal kerana
gerak tarinya lebih agresif kerana ia menggambarkan kehidupan kaum nelayan
di daerah itu. Langkah dan liuk lentuknya kelihatan seperti suasana
dilambung ombak ataupun menebar jala," katanya kepada Persada Seni, baru-
baru ini.
Mohd Fadzli yang bertindak sebagai pereka tari berkata, hampir setiap
daerah di Johor mempunyai tarian zapinnya sendiri walaupun yang berjaya
diketengahkan setakat ini hanya 11 jenis.
"Di Muar, kita ada Zapin Lenga; Batu Pahat terkenal dengan empat jenis
zapin iaitu Merindu, Parit Haji Rasol juga dikenali Padang Sari, Kores dan
Tanjung Labuh," katanya.
Dia berkata, Pontian pula dikenali dengan Zapin Parit Mastar dan Zapin
Bunian; Johor Bahru - Zapin Pekajang dan Zapin Melayu Johor manakala
Mersing terkenal dengan Zapin Tenglu dan Zapin Pulau.
Kumpulan yang pernah empat kali menjadi Johan bagi Piala Taksim Festival
Zapin Johor dan Festival Tari Johor turut menerima pelbagai anugerah lain
sejak ditubuhkan pada 1997.
Menceritakan sejarah tarian ini, Mohd Fadzli berkata, kesenian rakyat
ini berkembang apabila Portugis menyerang Melaka dan Sultannya terpaksa
melarikan diri ke Johor dan mangkat di Kampar.
Warisnya membuka negeri di Ujung Tanah, di Kota Johor Lama sehingga ia
muncul sebagai pusat warisan Melayu.
Beliau berkata, Zapin Melayu dicipta dari pengaruh seni gerak dan
nyanyian Arab Hadramaut yang dibawa pedagang Arab ketika memperkembangkan
Islam.
"Tarian ini dulunya biasa ditarikan selepas selesai solat Isyak di
beranda masjid dengan diiringi alat muzik seperti gambus Melayu, meruas,
biola dan akordion," katanya.
Persembahan mereka pada 27 April lalu di The Actors Studio Box, Plaza
Putra, Dataran Merdeka itu menampilkan 11 jenis tarian zapin yang
dijayakan 12 penari.