//added by Saiful 2025-08-28
 

Zapin, ghazal dan budaya Johor Getaran Seni

Dokumen

Maklumat Bahan Rujukan
Subjek
  • SAYA percaya penonton yang memenuhi ruang mewah Dewan Filharmonik
    Petronas malam Ahad lalu menyusuri santun dan tingginya budaya
    Melayu Johor di hujung benua.

    Muzikal Pesona Jauhar yang mengakhiri KLCC Seni Festival 2011
    yang mengemukakan seni zapin dan ghazal cukup hebat.

    Ini sebuah persembahan yang dihasilkan oleh orang yang faham
    tentang ketinggian seni dan budaya.

    Hanya dengan mengangkat tari dan lagu yakni zapin dan ghazal,
    muzikal ini berjaya membingkaikan citra budaya Johor yang cukup
    unik. Badan Kesenian Warisan Johor berjaya menzahirkan sebuah
    kesenian yang berbudaya tinggi.

    Pesona Jauhar hanya sebuah sedutan dari sekian banyak kesenian
    tradisi Johor yang cukup hebat. Zapin dan ghazal menjadi cermin
    untuk melihat dalam masyarakat di mana rentak dan gerak bersatu
    membawa tanda dan makna.

    Kocakan air di Kuala Sedili dan Sungai Johor bangkit daripada
    rentak dan tari zapin yang pelbagai. Muzik, tari dan kuasa
    permainan cahaya di pentas memberikan pengertian nurani
    tersendiri. Apabila kesenian tradisi diangkat dengan penuh hormat
    dan tanggungjawab sudah pasti hasilnya tidak mengecewakan.

    Persembahan ini ternyata mengangkat secara hormat ketinggian
    budaya dan seni masyarakat Melayu Johor.

    Keterbukaan Dewan Filharmonik Petronas memberi ruang kepada
    kesenian tradisi seperti ini wajar dipuji. Walaupun bukan seni
    kontemporari yang selalu dianggap moden dan sesuai dengan
    masyarakat kota, kesenian tradisi lebih jauh besar kesannya.

    Apabila dewan itu dipenuhi termasuk kalangan pelancong, hasrat
    untuk memartabatkan citra budaya Melayu Johor telah terlaksana.

    Kepada penonton biasa, persembahan ini memberikan gerak tari yang
    berbeza antara beberapa jenis zapin. Zapin pekajang, zapin pulau,
    zapin kores dan zapin putar alam berbeza tetapi sama. Berbeza
    pada gerak tapi sama pada tunggak budayanya.

    Kesantunan persembahan kesenian ini dicanai begitu teliti. Kalau
    ada yang menganggap seni tari Melayu selalu bercanggah dengan
    Islam misalnya, persembahan Pesona Jauhar berjaya mengangkat
    budaya Melayu dalam lingkungan Islam.

    Ini sangat jelas pada reka pakaian, gerak tari dan penampilan
    lelaki dan wanita di pentas. Semuanya sangat dijaga dan tidak
    menganggu mata.

    Usaha Dewan Filharmonik Petronas boleh dilihat sebagai mengangkat
    persembahan kesenian tradisi ke tahap tinggi. Ini kerana kesenian
    tradisi kerap diremehkan oleh pihak yang buta budaya.

    Mereka inilah yang membuat kesimpulan kononnya kesenian tradisi
    perlu menumpang artis untuk popular.

    Pesona Jauhar menampilkan penyanyi yang tidak ada nama tetapi
    kaya jiwa dan rasa. Tidak seorang pun penyanyi ternama
    berkeliaran di pentas, di sini bukan tempat mereka kecuali yang
    ada penghayatan budaya.

    Persembahan seperti ini bukan memperagakan penyanyi atau artis
    popular. Pesona Jauhar tetap berjaya kerana penonton yang datang
    bukanlah mahu menonton artis, sebaliknya mereka pengagum seni dan
    budaya.
Penulis / Penerbit / dll
  • Ku Seman Ku Hussain
Publisher
  • Utusan Malaysia
Tarikh
  • 07/11/2011