Kuala Lumpur: Tarian zapin bukan sekadar memaparkan gerakan kaki,
sebaliknya menyimpan kebijaksanaan dan ketinggian falsafah yang dipegang
oleh masyarakat Melayu pada zaman dulu.
Meskipun asalnya zapin dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh pedagang Arab
dari Semenanjung Arab, perkembangannya di alam Melayu, terutama di Johor
menyaksikannya disuntik falsafah tersendiri sesuai dengan masyarakat
Melayu ketika itu.
Timbalan Dekan Fakulti Tari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan
(ASWARA), Mohd Seth Hamzah, berkata zapin di Johor terutama di Kampung
Pekajang, dipersembahkan di atas hamparan tikar atau permaidani.
Perlu kemahiran berzapin
Beliau berkata, penari yang mempersembahkan tarian perlu memiliki
kemahiran tinggi bagi memastikan tikar yang digunakan untuk berzapin tidak
bergerak sebagai simbolik kepada kesopanan dan kesantunan tinggi
masyarakat Melayu.
"Selain kekayaan falsafah, zapin di Tanah Melayu kebanyakannya
menggunakan pergerakan tapak empat seperti yang sering diamalkan dalam
seni mempertahankan diri Melayu, iaitu silat.
"Kiraan hayunan langkah kaki penari dalam tarian zapin juga hanya
menggunakan turutan angka dua, tiga, empat, enam, tujuh dan lapan tanpa
angka satu dan lima kerana ia masing-masing merujuk kepada hanya satu
Tuhan Yang Maha Esa serta lima rukun Islam.
"Di sinilah letaknya ketinggian pemikiran orang Melayu kerana dalam
keseronokan berhibur, mereka masih menerapkan falsafah dan pemikiran
tertentu," katanya kepada Sastera dan Budaya di ASWARA, di sini.
Mohd Seth yang turut mempelajari gerak dan membuat kajian serta
dokumentasi mengenai zapin ketika bertugas di Johor berkata, seni tari
itu turut dipersembahkan dengan meluas di Pahang, Sabah, Sarawak, Kelantan
dan Terengganu.
Bagaimanapun, kata beliau, Johor menjadi pendahulu berkembangnya seni
itu kerana Sungai Muar menjadi laluan pintu masuk pedagang Arab ke Tanah
Melayu.
Justeru, tidak hairanlah negeri itu terdapat sehingga 20 jenis tarian
zapin yang dinamakan sempena nama kampung di mana gerakan zapin dicipta
misalnya Zapin Tenglu, Zapin Pekajang, Zapin Seri Bunian dan Zapin Parit
Mastar.
Pergerakan hentakan
"Bagaimanapun, berbeza dengan zapin Arab yang gerakan kakinya bersifat
mengalir ibarat menulis di atas pasir menggunakan kaki, zapin Melayu pula
menggunakan pergerakan hentakan tetapi dalam masa sama lebih berseni.
"Sehingga kini, evolusi seni zapin Melayu masih berlangsung. Malah,
pembabitan golongan muda juga menyebabkan gerakan langkah yang digunakan
semakin laju dan bertenaga.
"Pembaharuan sebegini bagi saya adalah perkembangan yang baik asalkan
mereka mengetahui akar umbi tarian zapin itu sendiri," katanya.