//added by Saiful 2025-08-28
 

Tarian Zapin Warisan Johor Masih Jadi Pilihan

Dokumen

Maklumat Bahan Rujukan
Subjek
  • JOHOR BAHRU, 8 Jun (Bernama) -- Tarian Zapin yang cukup sebati dengan kehidupan masyarakat di negeri Johor, malah menjadi identiti negeri selatan tanah air itu, masih lagi menjadi pilihan untuk persembahan di mana-mana keramaian atau cara di negeri ini.

    Diwarisi sejak turun-temurun, kelincahan serta keindahan gerak tari dipersembahkan dengan alunan muzik tradisional dengan genre lagu Samrah melibatkan instrumen biola, marwas serta gambus dan adakalanya dimeriahkan dengan paluan kompang, menjadikannya kelihatan begitu unik dan menarik perhatian baik di kalangan warga tempatan mahupun pelancong asing.

    Tarian zapin juga acapkali dipilih bukan sahaja untuk dipersembahkan bagi menyambut kehadiran tetamu, terutama ketika berlangsungnya sesuatu acara atau majlis rasmi malah turut menjadi pilihan di majlis-majlis perkahwinan dan perayaan.

    Walaupun mengharungi arus pemodenan zaman dan pengaruh muzik dan tarian luar membanjiri negara ini, zapin tetap mendapat permintaan.

    Ketua Jurulatih dan Setiausaha Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor (Pe-Zapin) Dianna Sulaiman, 44, berkata permintaan untuk mengadakan persembahan zapin sentiasa ada walaupun pada bulan Ramadan yang baru sahaja berlalu.

    Katanya secara purata setiap minggu, pihaknya menerima jemputan mengadakan persembahan tiga kali seminggu dan 15 kali sebulan melibatkan hari Jumaat hingga Ahad.

    “Memang permintaan terlalu banyak dan tak bermusim, macam kami di bulan Ramadan baru ini, ada yang ikat kami dengan tiga bulan kontrak, enam bulan dan seperti di Desaru Coast pun kami telah mengikat kontrak dari tahun lepas dan kemungkinan akan disambung sehingga hujung tahun ini.

    “Sejak lima tahun kebelakangan ini, kami akan beraya seminggu selepas raya kerana kebiasaannya hari raya pertama dan kedua memang kami akan membuat persembahan dan pada tahun ini, pada hari raya pertama kami mengadakan persembahan di pusat membeli-belah di Paradigm Mall manakala pada hari kedua di Desaru Coast. Maksudnya dalam seminggu kami akan penuh,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

    Dianna berkata pada musim perayaan, dari segi pemilihan penari pula, beliau memberi peluang kepada penari membuat pilihan dan mengamalkan sistem giliran tetapi ramai di antara penari secara sukarela mahu menyertainya kerana persembahan hanya memakan masa dua hingga tiga jam dan bukan sehari.

    Bercakap mengenai pengaruh budaya luar pada masa kini dan usaha untuk mengekalkan tarian tradisional itu, beliau berkata pelbagai usaha perlu dilakukan untuk menarik perhatian golongan muda meminatinya.

    “Pada pandangan saya, sebenarnya kalau kita nak warisi dan tarik minat generasi muda seharusnya daripada awal dari akar umbi dan kita boleh mengolah dengan genre baru tapi haruslah mengekalkan keaslian zapin itu sendiri.

    "Memang ada yang cakap zapin lama ini bosan keluar masuk, depan belakang tapi kita harus memilih ‘sesuatu’ yang sealiran dengan zaman kini untuk tangkap mereka. Sebagai contoh, kami olah dengan irama remix dan rancak sikit tapi masih mengekalkan gerak asli jadi apa yang penting pembaharuan atau olahan perlu berlandaskan pada landasan yang betul.

    “Kami juga membuat pendedahan di peringkat pra sekolah lagi untuk tanamkan sifat cintakan tarian warisan, cuma pendekatan yang dilakukan sedikit berbeza.

    "Ada masa kita sendiri kena belajar jadi kanak-kanak dan begitu juga di peringkat sekolah rendah dan menengah yang mana pendekatannya juga berbeza mengikut kesesuaian dengan umur mereka oleh jurulatih kami yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf,” katanya yang mempunyai tiga orang anak.

    Jelasnya, zapin di negeri ini mempunyai lebih 20 jenis tarian yang mana hampir semua daerah di negeri ini mempunyai versi tarian zapin yang tersendiri.

    Boleh dikatakan kepelbagaian penciptaan tarian zapin oleh pengasasnya dan pewaris serta penggiat yang meneruskannya mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri seperti Zapin Melayu Johor, Zapin Lenga dan Putar Alam dari Muar selain Zapin Pulau dan Tenglu (Mersing), Zapin Lapis Batu Putih (Batu Pahat) dan Zapin Parit Mastar (Pontian) serta Zapin Selat Panjang (Kluang).

    Beliau yang juga merupakan isteri kepada Yang Dipertua Persatuan Penggiat Zapin Johor (PE-ZAPIN), Abd Razak Rahmat, berkata persatuan itu ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2010 di Batu Pahat dengan persetujuan 10 guru zapin sebagai usaha untuk terus memartabatkan keaslian tarian zapin di negeri ini sekaligus melahirkan pelapis generasi muda bagi tarian warisan itu.
Penulis / Penerbit / dll
  • Nur Fadhliana Shaari
Publisher
  • BERNAMA
Tarikh
  • 08/06/2019