Beliau terkenal dengan peranan pentingnya dalam detik-detik hitam Rusuhan Nadrah pada tahun 1950. Ini dimana beliau mewakili Aminah binti Mohammad - ibu angkat Maria Huberdina Hertogh dalam kes yang penuh kontroversi itu yang membawa kepada 18 orang terkorban, 173 orang cedera serta hampir 200 buah kenderaan terbakar dan rosak.
Tun Haji Sardon bin Mohamed Zubir lahir di Rengit (Johor) pada 19 Mac 1917.
Bapanya, Kiyai Mohamed Zubir bin Amin adalah seorang Kadhi terkenal di Singapura.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Bangan dan Victoria Bridge School di Singapura.
Beliau lulus ujian Senior Cambridge di Raffles Institute pada tahun 1932.
Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Lincoln’s Inner Temple (England) sebelum kembali ke Singapura pada tahun 1941.
Pada tahun 1945, beliau menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu (PKM) di Singapura.
Haji Sardon mengawali karier politiknya dengan menjadi anggota Legislative Council di Singapura dan Ahli Majlis Tertinggi United Malays National Organisation (UMNO) pada tahun 1948.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Presiden Singapore Malay Association (SMA).
Semasa menjadi Presiden SMA, beliau pernah mengirim surat protes rasmi kepada United Nations (UN) akan perlakuan pemerintah Australia terhadap para nelayan Melayu di Cocos Island.
Pada tahun 1951, beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO. Ini diikuti pula dengan perlantikannya sebagai Menteri pertama bagi Kementerian Kerjaraya, Telekom Dan Pos (Tanah Melayu) pada tahun 1957.
Dari tahun 1958 hingga 1961, beliau dipilih sebagai Presiden Majlis Belia Malaya di Pulau Pinang.
Selepas itu, beliau dilantik pula sebagai Menteri Pengangkutan (Tanah Melayu) dari tahun 1959 hingga 1968.
Dari tahun 1963 hingga 1973, Haji Sardon menjadi Ketua Pengakap Malaysia. Antara sumbangan beliau ialah mewujudkan Akta Persekutuan Budak-Budak Pengakap Tanah Melayu (Akta Parlimen No. 38 Tahun 1968).
Seterusnya, beliau dilantik sebagai Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1967 dan Menteri Kesihatan Malaysia pada tahun 1969.
Sewaktu pulang ke Johor pada tahun 1969, beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Pontian Utara.
Haji Sardon juga pernah menjawat beberapa jawatan lain dalam Kementerian-Kementerian Malaysia. Antaranya ialah:-
[1] Menteri Pengangkutan; tahun 1972
[2] Menteri Komunikasi; tahun 1972
[3] Wakil Tetap Malaysia di UN; tahun 1974
Dari tahun 1975 hingga 1981, beliau dilantik sebagai Yang Dipertuan Negeri Pulau Pinang.
Sepanjang karier politiknya, Haji Sardon telah menerima banyak penghargaan atas baktinya.
Antaranya ialah:-
[1] The Memorial Magsaysay Award; tahun 1958
[2] Gold Medal - anugerah tertinggi untuk pengakap di Korea Selatan; tahun 1970
[3] King's Gold Medal For Scouts oleh Bhumibol Adulyadej - Raja Thailand; tahun 1971
[4] Bintang Seri Paduka Mahkota Kelantan; tahun 1972
[5] Bintang Seri Paduka Mahkota Johor; tahun 1972
[6] The Grand Cross Of The Order Of St Michael And St George oleh Queen Elizabeth II - Ratu The Great Britain; tahun 1974
[7] Darjah Seri Maharaja Mangku Negara; tahun 1976
[8] Darjah Utama Pangkuan Negeri; tahun 1976
Kem Pengakap Sardon Jubir di Balakong (Selangor) juga telah dibina bagi mengenang jasa beliau. Begitu juga Sekolah Menengah Tun Sardon di Rengit dinamakan sempena nama beliau.
Tun Haji Sardon bin Mohamed Zubir meninggal dunia pada 14 Disember 1985 dalam usia 68 tahun dan dimakamkan di Makam Pahlawan (Masjid Negara Kuala Lumpur).