Bentuk rumah Melayu tradisi yang banyak ditemui di negeri Johor adalah campuran warisan bentuk rumah tradisi Jawa, Bugis, Banjar, Palembang dan keturunan lain daripada rumpun bangsa Melayu di Kepulauan Melayu. Bentuk awal rumah limas ini dikenali sebagai limas perabung lima, iaitu bumbungnya memakai lima buah perabung, terdiri satu perabung terus mendatar bersambung dengan empat perabung menurun ke cucur atap. Binaan bumbung berbentuk piramid ini dipanggil limas. Rumah limas Johor padadasarnya mempunyai lima ruang iaitu anjung, serambi, ruang tengah, dapur rumah dan pelantar.