Gambus adalah sejenis alat muzik jenis bertali tanpa fret yang menghasilkan bunyi melalui susunan tali yang bergetar apabila dipetik yang cukup terkenal di Malaysia, khususnya di negeri Johor dan Sabah. Gambus yang berasal dari Negara Yaman ini menggunakan sisitem penalaan, jenis tali dan gaya permainan serta menghasilkan bunyi yang mirip kepada oud dari Negara Timur Tengah yang lain.
Oud dalam bahasa Arab bermaksud kayu atau ranting, tangkai mudah lentur atau sepotong kayu. Orang-orang Arab mengadaptasikan istilah ini untuk membezakan oud berdasarkan penggunaan kayu bagi Papan Muka dengan alat muzik barbat, berasal dari Parsi yang menggunakan kulit. Pada abad ke- 14, Ibn Khaldun menyatakan bahawa ada yang berpendapat alat muzik barbat dipercayai telah wujud terdahulu daripada oud dan nama barbat merujuk kepada panggilan bagi pemetiknya.
Oud dipanggil dengan nama gambus di gagasan Tanah Melayu (Malaysia, Brunei, Indonesia, dan Singapura). Terdapat dua jenis gambus di Kepulauan Melayu, iaiut Gambus Arab (oud) dan Gambus Melayu (Gambus Hadramawt atau Gambus Hijaz). Di Johor, penggunaan Gambus Arab adalah dalam persembahan kumpulan gambus, kumpulan Gambus Samrah, kumpulan Zapin dan Ghazal. Manakala Gambus Melayu digunakan dalam persemabahan Hamdolok.
Di Sabah, gambus sentiasa dikaitkan dengan masyarakat Melayu Brunei Sabah. Namun demikian, terdapat juga permainan gambus dalam kalangan masyarakat Kedayan yang juga berasal dari Brunei. Gambus kebiasaannya dipetik secara solo atau secara berkumpulan. Ciri-ciri yang membezakan alunan daripada alat muzik gambus dengan pelbagai alat muzik yang lain bukannya pada bunyi yang dihasilkan tetapi pada Maqamat yang dimainkan.